Samy Vellu tidak menyesal undur diri

Presiden MIC yang paling lama berkhidmat, Datuk Seri S Samy Vellu berkata beliau tidak menyesal dengan keputusannya untuk mengundurkan diri pada Januari depan kerana parti memerlukan pemimpin baru.

Beliau berkata dengan perubahan suasana dan landskap politik negara, parti itu menghadapi cabaran besar dan memerlukan pemimpin muda dan berkeupayaan untuk berkhidmat kepada masyarakat India.

"Maka, saya fikir sudah tiba masanya untuk saya mengundurkan diri dan memberikan mereka peluang untuk memimpin serta berkhidmat kepada masyarakat. Saya gembira dengan keadaan itu.


"Saya menyedari bahawa saya telah diberi peluang oleh masyarakat selama 30 tahun untuk berkhidmat kepada mereka dan saya fikir ia merupakan satu tempoh gemilang yang dapat dirasai seseorang dalam sejarah negara ini," katanya pada satu temubual dalam rancangan bual bicara Hello Malaysia di Bernama TV, di Kuala Lumpur hari ini.

Samy Vellu berkata beliau tidak bimbang dengan masa depan parti kerana hala tuju baru parti itu telah pun ditentukan.

"Dengan saya mengundurkan diri, pemimpin baru akan meneruskan perjuangan dan hubungan dengan orang ramai akan berterusan dan dalam keadaan sedemikian, apabila orang ramai memerlukan sesuatu, saya fikir mereka akan mendekati MIC.

Setiap perkara akan diselesaikan seperti lazimnya," kata beliau.

Samy Vellu berkata beliau mengalu-alukan jika pemimpin baru MIC memerlukan nasihat dan pandangannya mengenai bagaimana parti itu harus dibentuk atau untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Hassan Omar - All Rights Reserved

Distributed By Free Blogger Templates | Lyrics | Songs.pk | Download Ringtones | HD Wallpapers For Mobile

Proudly powered by Blogger