Komen Artikel MohdNorAwang PAS Selalu tertipu oleh Watak/Individu dikatakan HEBAT

Saya banyak mengikut tulisan mohdnorawang di Tranungkite. Tulisannya adakala bernas dan 'banyak' kala tak ada fakta sekadar meleret dan merapu. Saya pun kurang jelas sejauh mana sesuatu artikel boleh diluluskan di sini. Pasal itu saya berani mencuba untuk menulis.

Artikel "PAS Selalu tertipu oleh Watak/Individu dikatakan " HEBAT"" terkini dalam suasana yang cukup tak selesa untuk PAS telah diluluskan oleh webmaster sendiri amat menghairankan saya.

Kalau berniat untuk menghentam Dr Hassan Ali, lalu menulis saya rasa itu bukan perkara yang bijak. Tahukah mohdnorawang bahawa Dr Hassan Ali telah masuk PAS sudah 15 tahun sebelum kes Anwar Ibrahim. 8 tahun Dr Hassan Ali menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor.

Jadi kalau nak mengulas, ulaskan berdasarkan fakta jangan berdasar emosi dan sentimen. Saya tak nafikan orang nombor satu dalam PAS pun boleh keluar PAS. Dr Asri keluar PAS mati pun diluar PAS. Ustaz Nakhiae sendiri pun Naib Presiden keluar PAS.

Tapi mohdnorawang ada kaji bagaimana mereka ini keluar parti. Nakhiae adalah orang yang bekerja dengan PAS, dia adalah pengasas Harakah yang menjadi satu daripada aset PAS yang boleh menampung PAS dan satu-satu projek PAS yang tidak banyak mendatangkan masalah.

Tapi akhirnya Nakhiae keluar PAS disebabkan perbalahan dalam masalah pendekatan parti sehingga boleh baling kertas dalam mesyuarat PAS Pusat.

Saya pun tak kata Nakhiae betul, tapi saya mahu kita ambil pengajaran agar kita bijaksana dalam menangani masalah dalaman parti. Sampai sekarang saya masih jarang melihat kepimpinan PAS pintar macam Nakhiae. Tapi nasi dah menjadi bubur hanya kita berdoa Allah selamatkan dia biar diakhir nanti dia bersama Jamaah.

Itu dakwahlah mohdnorawang.

Oleh kerana anda orang Terengganu. Saya bagi lagi satu contoh Haji Abdul Wahab Yunus. Seorang kepimpnan PAS yang hebat akhirnya menubuhkan parti Hamin dan sekarang ini dia kembali kepada PAS. Tak ramai orang yang cekap dan berwibawa macam Abdul Wahab dalam mengurus.

Mohdnorawang mengungkit daripada maklumat yang diselidik bahawa Dr Hassan Ali nak dia dipecat daripada PAS dan Pakatan Rakyat. Saya tak tahu atas sumber mana mohdnorawang berpegang. Tapi sebagai seorang Islam saya hanya nak nasihatkan bahawa peringatan Rasulullah s.a.w.

Huzaifah berkata: Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam. Begitu juga mana-mana hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati tersebut terbahagi dua: Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada. Manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan (Hadith Riwayat Muslim)

Menulis di laman ini tak ada sebarang upah, jangan sampai kita menabur fitnah atas kejahilan kita. Tidak ada apa yang kita dapat melainkan laknat Allah sahaja. Apa salahnya kalau mohdnorawang boleh berlapang dada sesama mukmin. Biarkan Allah menentukan nasib Dr Hassan Ali dengan jalan yang dia ambil. Kita boleh memberi nasihat agar dia masih kekal dengan jamaah Islam.

Mohdnorawang juga sebut Dr Hassan Ali jarang hadir mesyuarat. Saya tak tahu bila maklumat itu diperolehi. Adakah dia dimaklumkan secara khusus tentang mesyuarat dan dia sengaja tidak menghadirinya. Itu semua kita kena siasat supaya tuduhan kita tidak menjadi fitnah.

Tapi kalau orang nak berdalih, orang boleh memberikan alasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun tak hadir mesyuarat Masjlis Syura Ulama. 2 tahun menjadi pengerusi berapa kali TG Nik Abdul Aziz Hadir? dan berapa kali mesyuarat Majlis Syura diadakan?

Majlis Syura menjadi tak menentu. Kalau anda seorang ahli PAS yang prihatin yang mengikuti Muktamar PAS yang lalu dengan sepenuhnya bukan sekadar hadir dan menghabiskan masa minum di warung kopi berjumpa kawan anda akan sedar bahawa Haji Mohamad Sabu beberapa kali menyebut tentang memperkasa Majlis Syura.

Ucapan penanguhan Haji Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden juga masih lagi beliau sebut tentang memperkasa Majlis Syura Ulama. Ini bermakna Majlis Syura Ulama menghadapi banyak masalah kerana tidak ada mesyuarat dibuat.

Sekarang berapa kali Majlis Syura buat mesyuarat. Anda ahli PAS anda patut tahu.

Apakah kita nak kata bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz sama dengan Dr Hassan Ali. Saya tinggalkan persoalan ini untuk dijawab sendiri oleh mohdnorawang.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Copyright © 2011. Hassan Omar - All Rights Reserved

Distributed By Free Blogger Templates | Lyrics | Songs.pk | Download Ringtones | HD Wallpapers For Mobile

Proudly powered by Blogger